Pages

Followers

Thursday, June 14, 2012

Asmah Hashim

Namaku Asmah Bt Hashim.  Anak sulong dari 5 beradik.  Arwah ayahku bernama Hashim b. Hussin, berasal dari Negeri Sembilan.  Emakku bernama Fatimah bt. Satun asal Sabak Bernam.  Aku dilahirkan 43 tahun yang lalu.  Mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Bangsar Jalan Bangsar sehingga darjah 6.  Kemudian menyambung pelajaran ke tingkatan satu di Sek. Men. Sri Pantai Kampung Kerinchi sehingga tingkatan 5.  SPM taklah cemerlang sangat, tapi bolehlah setakat nak sambung belajar kat UITM tapi tak minta pun, orang dah masuk meminang..laku awal ( Ketawa).

Aku di lahirkan di Hospital Assunta.  Waktu tu baru sebulan dari kejadian 13 Mei 1969.  Waktu tu mana ramai doktor melayu, hospital tu pula ramai doktor berbangsa cina, punyalah takut emak aku, takut dia dan aku di apa-apakan..nasib baik doktor itu semuanya profesional, yang bertelagah orang politik. Aku membesar di sebuah kampung setinggan, Kampung Paya namanya, dekat dengan Kampung Haji Abdullah Hukum, sering banjir kerana dekat dengan Sg. Klang. Sekarang ni Kampung tu dah tak ada, sudah diganti dengan Flat 22 tingkat dan Mid Valley, berubah wajah sungguh tempat aku bermain dan di besarkan.

Sejak kecil aku suka membaca buku, sehingga kadang-kadang 'curi' duit mak nak belik buku, nakal waktu kecil. Emakku berniaga kuih di tepi Jalan Bangsar, dekat dengan Restoran Mamak Muhibba. Kalau sahabat-sahabat ke Bangsar pasti dapat lihat restoran itu lagi masih hidup sehingga kini.  Aku sering membantu emak kerana aku anak yang sulong jadi tanggungjawab tu besarlah, tak merasa sangat nak bermain macam kawan-kawan lain satu kampung .  Emakku garang orangnya, tapi dah tua ni makin baik dan penyayang pula.  Emak masih ada dan sekarang tinggal di Pantai Halt rumah PPRT dengan adik dan adik iparku. 

Kenapa aku tak masuk U ada ceritanya tersendiri, waktu sekolah aku minat kebudayaaan, maknanya minat pada tarian melayu.  Konon nak jadi koreograferlah, terlalu leka dengan aktiviti luar aku terlupa nak isi borang masuk U.  Akhirnya aku tidak ke mana-mana.  Habis sekolah aku join group teater tetapi bukan nak jadi pelakon aku minat menari je.  Sehingga lah aku dilantik sebagai Penolong Koreografer, kalau ada show pasti aku menjadi  pilihan untuk menari ( ketawa).  Selalu buat show di Central Market.  Pernah keluar muka kat majalah tapi taklah sampai popular macam artis.

Arwah ayah dan emak tidak melarang.  Suamiku orang Perlis, Kuala Perlis, Lahir di Kedah membesar di Perlis.  Dia juga anak sulong dari tujuh beradik.  Ayah mentuaku dah sembilan tahun meninggal , emak mentua sekarang di Pondok Al Jenderami. Nama suamiku Shahari Hassan, dulu satu group teater denganku. Kami tidak bercinta, dia terus je masuk meminang, arwah ayah terus je setuju walaupun aku tak setuju.  Anak yang taat kenalah dengar kata orang tua.  Jodoh kami kuat dan sudah jodohku dengannya, kami bahagia sehingga kini..Alhamdulillah.

Aku bernikah pada 12.12. 1987.  Kami dikurniakan tiga orang anak, yang sulong lelaki dan sudah pun berumahtangga, yang kedua masih belajar di Kolej As-Sofa , yang bongsu bersamaku di Maahad Az Zein menghafal Al-Quran.Suamiku mencuba berbagai perniagaan, dari syarikat IT ke sebuah Restoran.  Kami pernah buka restoran, Ani Sup Utara dua tahun setengah di Putrajaya, Kami buka restoran berkongsepkan francise, tapi usaha itu gagal, mungkin bukan rezeki kami agaknya.  Tak apalah aku tidak pernah kecewa, apa yang terjadi ada hikmahnya tersendiri.  Dulu suami menjadi PA kepada Syeikh Noreuddin Al Banjari Al Makki, dua tahun kami bersama beliau, bila perniagaan di tutup, ada seorang hamba Allah menawarkan untuk sama-sama membuka sebuah rumah anak yatim..maka tertubuhkan Maahad Az Zein Al Makki .  Bersyukur dengan ketentuan Allah kepada kami.

Antara pekerjaan yang pernah aku lakukan adalah : Pembantu Klinik pergigian Dzul Dental Surgery di Damansara setahun aku bekerja di situ, waktu tu baru berkahwin. Pernah bekerja  Sebagai Setiausaha Kerja Hal Ehwal Wanita ABIM Kedah..setahun juga aku bekerja di situ, waktu tu kami tinggal di Kedah .  Suamiku waktu itu bekerja di ASNB cawangan Utara. Setahun genap aku bersama Pertubuhan tersebut.  Pekerjaan terakhir aku adalah Sebagai Pegawai Akauan di Rumah Kebajikan Kompleks Kebajikan Rukaiyah di Sg.Merab, dua tahun aku bersama mereka. Seronok bekerja dengan kebajikan ni, dan sebenarnya satu kepuasan membantu orang lain kan.

Aku seorang yang sempoi dan simple.  Aku tidak suka make-up .  Sejak kerja dengan ABIM aku mula pakai tudung labuh, itu syarat mereka, ikutkan aje le.  Sekarang dah terbiasa dan selesa sebenarnya, pakai jubah dan tudung labuh ni.  Ikut diri masing-masinglah.  Aku suka berkawan dan bersahabat, suka bersembang dan berbual.  Mudah je berkawan dengan aku, perlu ikhlas dan jujur serta berterus-terang.  Kepada sahabat-sahabat terimalah aku seadanya ya...kita berkawan dan bersahabat biarlah kekal lama.  Sebenarnya bila kita dah akad mengatakan kita sahabat maka sudah dikira sah( macam bernikah pula ya) ada keperluan sebagai seorang sahabat kepada sahabat yang wajib di penuhi...kalau saya jumpa maklumatnya nanti saya post kat sini ya...harap sahabat-sahabat ta'aruf boleh Ta'aruf diri masing-masing di sini ya...

1 comment:

rabeah said...

bestnye baca pengalaman akak...